Friday, December 26, 2008

Lelaki, makanlah banyak sayur


Lebih daripada dua pertiga kaum Adam adalah obes. Adakah ini petanda masanya sudah tiba untuk mereka mengubah tabiat pemakanan?


LELAKI dan wanita sememangnya berbeza. Bukan sahaja dari segi gender, penampilan, perilaku dan reaksi malah, juga dari aspek pemakanan.

Satu kajian baru yang melibatkan lebih 14,000 peserta dari 10 negeri di Amerika mendapati, pengambilan makanan berdaging adalah lebih tinggi di kalangan lelaki.

Kaji selidik yang berlangsung menerusi panggilan telefon ini turut mendedahkan wanita mengambil lebih banyak sayuran dan buah-buahan dalam diet mereka.

Piza beku, burger beku dan makanan-makanan Mexico adalah antara makanan pilihan kaum lelaki. Pun begitu, mereka masih cenderung mengambil sayuran seperti asparagus, brussel, kacang pea, kacang tanah dan pucuk-pucuk sayur.

Selain itu, lelaki juga lebih gemar mengambil makanan stik yang tidak masak sepenuhnya, burger dan makanan bertelur. Makanan-makanan ini biasanya mempunyai risiko pencemaran yang tinggi dan berpotensi membuatkan anda jatuh sakit.

Wanita sebaliknya lebih kerap mengambil tunas-tunas alfalfa mentah yang pernah dikaitkan dengan keracunan makanan kira-kira 15 tahun lalu.

Keprihatinan kaum wanita terhadap kesihatan dengan mengambil makanan yang menyihatkan turut dibuktikan dalam satu kajian baru oleh Yayasan Majlis Maklumat Pemakanan Antarabangsa (IFIC).

Pengambilan makanan sihat bukan hanya untuk mengekalkan tahap kesihatan secara menyeluruh malah bagi memperbaiki rasa kenyang dan keadaan sistem pencernaan mereka.

Menurut Pengarah Kesihatan dan Nutrisi Yayasan IFIC, Wendy Reinhardt Kapsak: "Tidak terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita tentang pandangan terhadap jenis makanan yang diambil. Memang jelas mereka mempunyai tahap keutamaan dan keadaan berbeza yang mempengaruhi tabiat pemakanan dan nutrisi mereka."

Keperluan nutrisi wanita adalah lebih unik dan bukan sahaja berbeza daripada lelaki. Tambahan pula, keadaan ini juga berubah sepanjang kehidupan mereka.

Bermula dari zaman remaja, wanita lebih memberi tumpuan kepada makanan yang kaya dengan kalsium, vitamin D dan menyediakan satu pemahaman asas terhadap pengamalan tabiat yang baik.

Ini kemudiannya berterusan kepada pengambilan antioksida pada usia 20-an dan 30-an sebelum menjadikan kesihatan jantung satu keutamaan sebelum mencecah 40 tahun ke atas.

LELAKI lebih gemar mengambil makanan yang terdedah kepada risiko pencemaran tinggi seperti stik separuh masak dan burger.

Dalam pada itu, seorang pakar diet bertauliah, Dr. Chris Mohr yang telah mengarang ratusan artikel mengenai tahap kecergasan dan nutrisi kaum lelaki berkata: "Saban kali dalam sesuatu masyarakat, kita sering terlebih makan tetapi masih tidak memperoleh nutrisi mencukupi."

"Pengambilan nutrien yang betul sememangnya boleh memberi kesan kepada perasaan, tahap tenaga dan mengurangkan risiko mendapat penyakit sepanjang hidup anda. Berikan perhatian kepada sayuran dan buah-buahan termasuk makanan tinggi serat dan lemak omega-3 adalah penting untuk mengoptimumkan kesihatan dan kecergasan anda."

Sayuran dan buah-buahan mengandungi pelbagai nutrien yang penting untuk badan. Vitamin, mineral, serat dan fitokimia yang mampu membantu mengurangkan risiko pelbagai kanser, penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Jadi, mengapa lelaki memerlukan hidangan sayuran dan buah-buahan yang lebih banyak berbanding golongan Hawa?

* Lebih daripada dua pertiga kaum Adam adalah obes. Malah, lelaki juga mencatatkan kadar kematian lebih tinggi untuk sesetengah jenis penyakit berbanding wanita.

* Lelaki adalah dua kali ganda lebih cenderung mendapat kanser paru-paru, satu kali ganda memperoleh penyakit jantung dan kanser kolorektal.

Oleh itu, biarpun sebab utama lelaki lebih cenderung memakan asparagus berbanding wanita belum dapat dijelaskan, sekurang-kurangnya kajian ini membawa satu mesej penting. Lelaki mungkin perlu mengubah gaya pemakanan mereka mulai hari ini.

Maklumat lanjut, layari laman web www.medicalnewstoday.com

No comments: